Pada 14 Mac 2010 (Hari Sabtu) aku serta dua orang lagi pegawai dari KKLW Rizmi dan Afiq telah berkesempatan untuk melawat beberapa projek Progam Peningkatan Pendapatan (PPP) di daerah Penampang, Sabah. Bagi mereka yang belum mengenali tentang Penampang, daerah ini terletak di selatan daerah Kota Kinabalu di bahagian pantai barat Sabah. Majoriti penduduk di daerah ini adalah berketurunan Kadazandusun. Perjalanan dari Kota Kinabalu sejauh kira-kira 30km mengambil masa kira-kira 45 minit untuk tiba ke Pejabat Daerah Penampang yang terletak di Pekan Dogongan. Lawatan kami ini juga akan disertai oleh pegawai-pegawai dari Pejabat Daerah Penampang.
Sebelum memulakan perjalanan ke destinasi yang pertama, kami telah bersarapan di sebuah gerai makan yang sederhana dengan nama Nasi Lemak King. Adalah difahamkan pemiliknya adalah berasal dari Johor dan merupakan pesara polis yang berumah tanggakan dengan orang tempatan. Ada benar juga lah kata-kata orang sebelum ini kalau sudah tersangkut dengan orang Sabah memang payah hendak balik ke Semenanjung. Hidangan utama yang disediakan di gerai ini adalah nasi lemak dan rakan-rakan KKLW yang lain amat memuji keenakaannya. Aku tidak menjamah nasi lemak kerana difahamkan perjalanan ke Kg. Togudon melalui Jalan Negeri SA3 adalah seperti ke Cameron Highland; takut termuntah dek jalan-jalan berliku itu nanti.
Setelah berhempas-pulas meredah jalan yang berbelok-belok ditambah pula kepenatan mengekori lori berat yang perlahan mendaki Banjaran Crocker, akhirnya selepas 30 minit menaiki Toyota Prado milik Pejabat Cawangan KKLW Sabah kami tiba di Kg. Togudon pada ketinggian kira-kira 1,000 kaki dari aras laut. Waktu ketibaan adalah kira-kira jam 10.30 pagi namun kesejukan hawa pada ketinggian ini jelas mengurangkan keterikan matahari pada ketika itu (perlu diingatkan ketinggian matahari pada jam 10.30 pagi adalah seperti jam 11.30 pagi di Semenanjung). Ketibaan kami disambut oleh Pengerusi JKK Kg. Togudon dan pegawai dari Koperasi Pembangunan Desa Sabah (KPD). Projek pertama yang kami lawati di Kg. Togudan adalah projek tanaman cendawan shitake yang melibatkan 9 orang peserta miskin tegar dengan bimbingan KPD. Berbeza dengan cendawan tiram, cendawan shitake tidak diletakkan secara bertingkat di rak tetapi disusun secara rapat-rapat di atas tanah. Namun, kaedah penjagaannya adalah sama seperti cendawan tiram yang memerlukan tahap kelembapan yang tinggi di dalam rumah cendawan. Projek cendawan shitake di Kg. Togudun belum lagi memberikan hasil pulangan namun adalah difahamkan peserta boleh menerima hasilnya sehingga RM 600 sebulan apabila hasil mula dituai. .Masalah utama yang dialami peserta adalah tekanan air yang rendah di kawasan ini. Memandangkan lokasinya terletak di altitud yang tinggi, tekanan air adalah bergantung kepada graviti dan keupayaan rumah pam. Pada masa ini, semburan pada bibit-bibit cendawan adalah secara manual daripada punca air bukit.
Seterusnya kami dibawa oleh Pengerusi JKKK melawat projek tanaman sayuran tanah tinggi di kampung yang sama. Perjalanan ke tapak projek terpaksa menuruni jalan kelikir yang berkecerunan tinggi. Mujur pemandu kami amat terlatih dalam situasi pemanduan begini. Setibanya di tapak projek, kami amat terpukau dengan pemandangan banjaran yang amat indah sekali. Jelas juga kelihatan dari jauh ladang-ladang padi huma yang diusahakan oleh kaum Dusun. Projek tanaman sayuran tanah tinggi yang kami lawati adalah usaha En. Kelimin Bin Gudip sejak November 2009. Sayangnya akibat daripada musim kemarau yang teruk ketika itu dan masalah tekanan air yang rendah, tanaman sayurannya adalah terbantut pertumbuhannya dan berkeadaan layu.
Namun, pemerhatian kami mendapati peserta ini menjaga dengan baik peralatan bajak yang diamanahkan oleh KKLW. Peserta ini juga bijak berjimat baja dan benih yang diberi supaya dapat diusahakan secara berskala besar apabila musim kemarau tamat. Kami hanya berharap yang terbaik kepada En. Kelimin dalam menghadapi musim kemarau ini.
No comments:
Post a Comment