Lebih kurang jam 12.15 tengahari pada 13 Mac 2010, aku serta beberapa pegawai KKLW dan pegawai Pejabat Daerah Penampang tiba di Kg. Moyog yang terletak kira-kira 8 km dari Kg. Togudon. Di kampung ini kami akan dibawa oleh pegawai Pejabat Daerah Penampang untuk melawat projek ternakan ikan talapia yang dibiayai di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP). Projek ini diusahakan oleh En. Murin bin Godiliu dan En. Guroh bin Musa yang berketurunan Dusun. Terdapat empat buah kolam telah digali bagi menternak ikan talapia merah dan hitam. Projek ini baru dimulakan pada November 2009 dan belum lagi mengeluarkan hasil. Peserta dijangka akan menerima pendapatan di antara RM400-600 sebulan setelah projek ini mengeluarkan hasil kira-kira 4 bulan lagi. Tidak jauh daripada tapak projek iaitu kira-kira 50 meter jaraknya, terdapatnya sungai atau jeram (aku bukannya pakar untuk mengkategorikannya) yang pemandangannya menarik perhatian kami. Airnya yang jernih amat segar sekali apabila disiram ke muka di tengah-tengah cuaca panas pada masa itu. Kelihatan juga beberapa anak ikan di dalam air yang mengacah-acah kami di atas tebing. Aliran air sungai yang sempit dan banyak batu-batu sungai yang timbul amat ketara menjelaskan teruknya musim kemarau di Sabah ketika itu.
Batu yang aku duduki itu adalah di dalam sungai jika bukan musim kemarau
Seterusnya, kami menuju ke Kg. Kibunut yang terletak kira-kira 6 km dari Kg. Moyog. Tidak seperti Kg. Moyog yang terletak di pesisiran jalan utama (Jalan Negeri SA3), Kg. Kibunut terletak kira-kira 2 km dari jalan utama melalui jalan kerikil dan tanah merah. Di sini kami telah melawat dua buah kedai runcit yang diusahakan oleh En. Jibol bin John dan En. Justina Gahon. Kedai runcit En. Jibol bin John atau lebih dikenali penduduk setempat sebagai Kedai Runcit JJ jelas dilihat berjaya diusahakan. Kami telah diterangkan oleh peserta tersebut bahawa hasil jualannya adalah RM500.00 seminggu. Pemerhatian kami mendapati barangan yang amat laku di kedainya adalah air tuak dan permainan 'tikam'. Aku sebenarnya sudah lama tidak melihat permainan tikam ini. Rasanya permainan ini telah pupus di kampung aku di Melaka sekitar awal 90an dahulu kesan daripada bantahan ibu bapa yang tidak tahan wang mereka dihabiskan oleh anak-anak kepada permainan ini. Permainan tikam ini juga boleh dikatakan bibit kepada permainan judi yang lain seperti 'pakau', nombor ekor dan mahjong. Namun difahamkan jualan permainan tikam ini tiada mendapat bantahan dari penduduk kampung malah pelanggan utamanya adalah golongan dewasa berbanding kanak-kanak. Bagi menambah bukti kejayaan En. Jibol, beliau pada ketika itu juga sedang membuat binaan tambahan kepada kedai runcit beliau dengan wangnya sendiri untuk perniagaan menjual mi goreng. Syabas diucapkan kepada peserta ini.
Lawatan kami seterusnya ke kedai runcit yang diusahakan oleh En. Justina yang terletak juga di Kg. Kibunut dan menemukan hasil yang berbeza dengan Kedai Runcit JJ. Pemerhatian mendapati kedainya tidak menjalankan perniagaan ketika lawatan. Setelah diperiksa oleh kami, adalah didapati barangannya tidak laku jualannya seperti Kedai Runcit JJ. Pendapat kami mungkin faktor persaingan yang menyebabkan keadaan ini kerana jarak kedua-dua kedai yang berdekatan ataupun kerana kedai ini tidak menjual tuak dan permainan tikam kerana terletak di belakang gereja? Kami menasihati supaya En. Justina cuba menjual barangan basah seperti ikan dan sayuran bagi meningkatkan hasil jualan memandangkan Kedai Runcit JJ juga tidak menjual barangan seperti itu.
nama kedai tertukar dan nama pemilik pun tertukar 😂
ReplyDelete