Pada 11 April yang lepas aku dan beberapa orang dari Agensi di bawah KKLW telah berkesempatan melawat projek ladang orang asli yang dibiayai di bawah Program Peningkatan Pendapatan di Post Mendrop, Lojing, Kelantan. Perjalanan dari Brinchang itu mengambil masa kira-kira 40 minit untuk sampai ke destinasi melalui jalan ke Gua Musang yang berliku-liku.
Persepsi awal aku mengenai ladang orang asli ini sudah tentu tidak berbeza dengan ladang-ladang kecil lazim seperti di kampung-kampung. Namun, aku agak terkejut apabila mendapati projek ini adalah sebuah ladang yang sistematik seperti yang dilaksanakan oleh golongan bukan bumiputera di Cameron Highland. Pada masa lawatan tersebut, ladang tersebut sedang mengusahakan tanaman ubi keledek dan kacang buncis.
Jumlah populasi di Post Mendrop ini adalah kira-kira 50 buah keluarga orang asli dan kawasan ini masih lagi belum menerima pembangunan yang dikecapi oleh majoriti masyarakat Malaysia. Malah, bekalan elektrik juga belum sampai lagi ke perkampungan ini. Sungguhpun begitu, keindahan alam semula jadi di kawasan ini masih lagi terjaga keasliannya dan belum dimanupulasi oleh pihak-pihak luar. Tidak jauh dari ladang orang asli ini terdapat jeram yang bersih dan sejuk airnya. Jeram ini juga adalah habitat semulajadi bagi spesis ikan kelah yang boleh dilihat jelas jinak bermain-main di tebing jeram apabila ada tetamu datang menjenguk keindahan jeram ini.
Sebelum beredar dari perkampungan itu, kami sempat dijamu oleh penduduk di situ dengan hidangan ubi panggang yang dilihat amat ringkas tetapi sangat enak rasanya walaupun dimakan tanpa dicicah dengan sambal. Kemesraan dan keriangan anak-anak orang asli juga menambat hati kami bagaimana sangat innocent kanak-kanak ini. Semangat komuniti penduduk kampung yang bergotong royong mendirikankan khemah dan menyediakan hidangan mengingatkan aku semangat yang sama di kampung aku suatu ketika dahulu yang semakin pudar pada hari ini. Syabas penduduk Post Mendrop yang mampu memajukan diri walaupun jauh dari kerancakan pembangunan.
No comments:
Post a Comment